Saturday, August 22, 2009

Peristiwa Israk dan Mikraj

KISAH BUMI DAN LANGIT


TERJADINYA peristiwa Israk dan Mikraj kerana bumi berasa bangga dengan langit.

Berkata bumi kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik daripada kamu, kerana Allah SWT telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok daripada kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."

Berkata bumi, "Hai langit, di tempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian.

Langit mendiamkan diri dan terus mengadap Allah SWT dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi. Oleh itu aku minta kepada-Mu, Ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah SWT memperkenankan permintaan langit. Kemudian Allah SWT memberi wahyu kepada Jibril A.S. pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibril) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibril A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"

Allah SWT berfirman maksudnya, "Tidak, wahai Jibril. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah Buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan Buraq itu."

Kemudian Jibril A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 Buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan pada wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 Buraq itu, Jibril A.S. terpandang pada seekor Buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibril A.S. menghampiri Buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya Buraq?"

Berkata Buraq, "Ya Jibril, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibril A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibril A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada Buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

No comments:

Post a Comment