Saturday, November 7, 2009

Hadis : Kualiti Iman Seorang Muslim


Hadis :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." Baihaqi

Huraian :

Pengajaran Hadis:

i) Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap
individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan
kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim
yang sebenar.

ii) Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila
mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan
sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi
orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas
apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk
berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada
Allah.

iii) Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala
senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada
Allah S.W.T, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin,
jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya
mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya
akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

Kelebihan sedekah rahsia



Kelebihan sedekah rahsia

Hendaklah bersedekah secara rahsia, kerana ada sebauh riwayat yang menyebut bahawa pahalanya berlipat ganda atas pahala sedekah yang berterang-terang sebanyak tujuh puluh kali ganda.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


"Sedekah manusia memadamkan kemurkaan Tuhan."


Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:


"Kiranya kamu menampakkan sedekah sedekah itu, itu pun baik juga. Tetapi jika kamu merahsiakan dan memberikannya kepada fakir miskin, maka adalah lebih utama bagi kamu, dan ia akan menghapuskan sebahagian dari kesalahan-kesalan kamu. Dan Tuhan mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Al Baqarah:271)

Bahaya menangguhkan ketaatan

Hendaklah anda sentiasa menyegerakan amal taat, dan jangan sekali-kali menangguhkannya ke masa yang lain, kerana dalam menangguh-nangguh amal taat itu mengandungi bahaya. Setiap manusia terdedah oleh berbagai-bagai bencana dan pekerjaan yang tidak ada akhirnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


" Rebutlah peluang lima sebelum lima: Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa papa. Dan masa hidup sebelum tiba masa mati."



Wednesday, November 4, 2009

Hikmah Berselawat Ke Atas Rasulullah

DARIPADA Ubai bin Ka'ab, katanya: "Ya Rasulullah saw! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak peruntukkan masa berselawat bagi tuan. Maka, sebanyak mana yang elok aku peruntukkan?"

Baginda menjawab: "Sekadar mana yang engkau suka." Aku berkata: "Aku hendak peruntukkan sesuku daripada masaku." Baginda bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "Kalau begitu aku peruntukkan setengah daripada masaku." Rasulullah bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "Kalau demikian, aku peruntukkan dua pertiga daripada masaku." Baginda bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan." Baginda bersabda: "Jika demikian, terpelihara dan terselamatlah engkau daripada apa yang mendukacita dan membimbingkanmu sama ada perkara dunia mahupun akhirat dan diampunkan dosamu... "

Rasulullah bersabda bahawa Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail berkata kepadaku.

Berkata Jibril: "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak 10 kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail: "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil: "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail pula berkata: "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah? Malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang yang berselawat ke atas Rasulullah.

Begitu besarnya pahala orang yang berdoa dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw. Ganjaran yang diberikan bukan saja di dunia, malah di akhirat.

Lagipun, bukan sukar atau mengambil masa yang panjang untuk berselawat ke atas Nabi. Lafaznya cukup mudah. Itulah tanda kasihnya Allah dan Nabi Muhammad saw kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh ganjaran daripadanya.

Pada Jumaat yang mulia ini, umat Islam turut dituntut membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi. Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat pada Jumaat adalah kasih sayang daripada Baginda.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."